Sunday, May 26, 2013

BERKASIH SAYANG SEPANJANG ZAMAN


Dunia ALLAH jadikan cantik pada pandangan mata. Ia dihias dengan pelbagai nikmat, keindahan dan kebahagiaan - rumah-rumah kediaman, taman-taman bunga, makanan yang lazat-lazat, anak-anak yang menghiburkan dan lain-lain. Antara seorang dengan seorang yang lain tidak sama kadar dunia yang dapat dimilikinya. Ada yang dapat memiliki rumah besar, pangkat tinggi, memperolehi sanjungan manusia, boleh bertukar ganti pakaian selalu, makan makanan yang enak-enak. Tapi ada juga yang hanya duduk di pondok buruk, dipandang hina oleh orang dan makan sekadar untuk mengalas perut.

Apakah maksud ALLAH tidak memberi dunia sama banyak dan sama rata kepada setiap hamba-Nya? Walhal tentulah setiap hamba itu mendapat kasih sayang ALLAH, kerana setiap yang ALLAH jadikan, ALLAH kasih melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya. Tapi takdir yang ditentukan ALLAH tetap tidak sama, sesetengahnya di luar kehendak hamba itu sendiri.

Kasih sayang ALLAH akan dimiliki oleh hamba-hamba-Nya yang dapat tunduk kepada takdir ALLAH. Sama ada dia ditakdirkan untuk jadi orang yang senang atau sebaliknya ditakdirkan mejadi miskin, dia tetap rela dan tidak merungut suatu apa pun. Dia tahu bahawa sesungguhnya ALLAH tidak menzalimi hamba-Nya. Kalaulah takdir yang ditentukan itu baik, maka di sinilah peluangnya untuk menjadi hamba yang bersyukur, yang dapat memanfaatkan kebaikan yang diperolehinya itu bukan untuk dirinya seorang, tapi dapat dirasai sama oleh orang lain.

Kalaulah ditakdirkan kaya, dengan kekayaan itu dia akan dapat membantu orang susah, anak-anak yatim, janda, fakir miskin serta melakukan lain-lain kebajikan. Sehingga dia menjadi lebih hampir kepada ALLAH dan mendapat rahmat serta kasih sayang-Nya.

Sebaliknya orang yang ditakdirkan menerima nasib yang kurang baik, tetapi dia sanggup bersabar walaupun dalam seribu kepahitan, maka ALLAH akan balas dengan rahmat-Nya. ALLAH akan hiburkan dengan dikurniakan kekayaan hati. Hati yang kaya adalah hati yang sentiasa berbahagia dengan kebaikan. Hati sentiasa merasa ringan menghadapi kesusahan atau kemiskinan. Nasib malang yang menimpa dirinya sedikitpun tidak menyusahkan hatinya. Sebaliknya segala kejadian dan keadaan yang ada itu makin membuat dia terus bergantung hati bertawakkal dan menyerah diri pada ALLAH.

Dia cukup yakin ALLAH itu Maha Bijaksana. Maha Suci ALLAH dari tersilap dalam menentukan takdir dan perjalanan hidup hamba-Nya. ALAH Maha Adil , oleh itu apa sahaja nasib yang menimpa dirinya tentulah hasil daripada sifat adil-Nya. Justeru itu akan membuatkan hatinya makin redha, merendah diri dan semakin hampirlah hatinya dengan ALLAH.

Seorang hamba yang tidak redha dengan takdir atau nasib yang menimpa dirinya, seolah-olah dia tidak yakin pada keadilan dan kebijaksanaan ALLAH. Seolah-olah menganggap ALLAH tidak tahu kehendak hatiya. Walhal kerana Maha Tahunya ALLAH, yang ilmu-Nya meliputi segala sesuatu, maka ALLAH memutuskan takdir yang sebaik-baiknya untuk hamba-Nya. Walaupun pada pandangan si hamba takdir itu tidak baik, tetapi kalau dia betul-betul berserah diri pada ALLAH dia akan mendapat keuntungan daripada takdir itu.

Sebaliknya kalau seseorang yang direzeki dengan takdir yang baik dalam hidupnya, selalunya membuatkan dia terlalu gembira, bangga dan hingga dia lalai, hingga lupa kepada Yang Memberi. Maka takdir yang dianggap baik itu sebenarnya sudah tidak menguntungkan dirinya. Dia sudah berada jauh dari ALLAH disebabkan kelalaiannya.

Janganlah merasa iri hati atau dengki melihat nasib atau takdir yang baik yang ditentukan ALLAH terhadap orang lain sehingga kita berusaha untuk mendapatkannya. Walhal apa diuntukkan ALLAH kepada seorang hamba-Nya itu pasti tidak sama dan tidak dimiliki oleh hamba-Nya yang lain, yang tidak tersenarai sebagai penerima takdir itu meskipun dia berusaha bermati-matian untuk mencapai dan mendapatkannya.

Apa yang patut dilakukan oleh setiap hamba ialah redha menerima segala ketentuan atau takdir ALLAH sama ada yang dianggap baik atau tidak. Kerana pada hakikatnya setiap yang ditakdirkan dan ditentukan ALLAH itu adalah baik. Cuma yang membezakan baik atau tidak itu ialah hawa nafsu manusia. Mana-mana yang sesuai dengan kehendak nafsu dan hatinya dianggap baik. Sebaliknya yang menyusahkan dan nafsunya merasa tidak seronok, dikatakan tidak baik.

Janganlah kita mengukur ikut hawa nafsu yang tidak lain hanya mengajak kita menjadi engkar dan memusuhi ALLAH. Ikutilah nilaian dan ukuran ALLAH.

Kalau kita dapat menghadapi setiap takdir dengan banyak berserah, berharap dan takut pada kemurkaan-Nya tentulah setiap takdir itu akan menguntungkan kita. Untungnya kerana ia boleh menghampirkan diri kita dengan ALLAH.

Kasih sayang mempunyai erti begitu tinggi nilainya sehinggakan manusia sanggup bertindak liar kerana tidak mampu mengawal perasaan. Kasih yang mengikut perasaan boleh menyimpang daripada kehendak Tuhan.

Oleh itu, kasih sayang tanpa kawalan dan berbelah bagi tidak direstui dan diredai Allah.

Dalam jiwa setiap insan pasti disemat dengan sifat kasih sayang, tetapi tidak semua berjalan di atas landasan sebenar dengan mengikut perasaan. Ada antaranya bertindak atas landasan yang dihanyuti arus kerana godaan syaitan.

Sesungguhnya kerja syaitan adalah memesong dan menyesatkan. Akibatnya jika tidak dijaga, tidak akan wujud kasih sayang dan takwa.

Tiga perkara penting dalam perjuangan kehendak manusia iaitu harta, takhta dan wanita.

Jika tidak dikawal tanpa berlandaskan garis panduan Allah yang Maha Esa, akan membawa padah yang boleh memesongkan iman manusia.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta dan anak daripada mengingati Allah. Dan sesiapa yang melakukan demikian, mereka itulah orang yang rugi.” - (Surah al-Munafiqin, ayat 9)

Sesiapa yang terpesong akibat berebut harta, takhta dan wanita akan melupai nilai sebenar kasih sayang dan takwa.

Mereka hanya mampu berkasih sayang di kalangan sebaya, sedangkan menyemat kebencian dan bermusuhan pula dengan lawan mereka. Rapat sesama sebulu hanya kasih mengikut nafsu. Kasih sayang dan bertakwa hanyalah kerana Allah. Fahaman walaupun tidak sama tetapi Islam menggalakkan hidup berbaik dan menjauhi sebarang masalah.

Ini dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah di antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” - (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Pada hari ini, ada umat Islam tenggelam dalam laungan ombak perjuangan, tetapi pada masa sama lupa menyemat nilai berkasih sayang mengikut landasan Islam.

Demi kerana berlainan fahaman ideologi dan pendekatan politik, mereka sanggup bertindak secara fanatik. Memaki hamun sesama seagama !

Yang nyata, manusia tidak akan sefahaman sampai bila-bila, tetapi mengapa asas persaudaraan Islam pula dicabul dan dinodai.

Fahaman berbeza sepatutnya tidak menggugat hubungan bersaudara. Di manakah letaknya nilai agama?

Hidup berprinsipkan kebencian sesama saudara semakin menular dalam umat Islam hari ini tanpa takutkan dosa.

Memaki hamun, menghentam dan berdendam sesama sahabat, tidak dihiraukan lagi. Janganlah kerana hendak mengejar harta, takhta dan wanita, umat Islam sanggup memutuskan kasih sayang sesama saudara.

Umat Islam perlu sedar, perkara ini berlaku dalam masyarakat hari ini, yang mana sifat kebencian, kecam-mengecam dan dendam-mendendam adalah kenyataan yang dapat dilihat dengan jelas pada masa ini.

Perlu diingat, kebencian bukan tiket ke syurga. Sabda Nabi s.a.w dari Abu Hurairah bermaksud: “Tidaklah kamu masuk syurga tanpa beriman dan tidaklah sempurna iman kamu tanpa berkasih sayang, inginkan kamu ku tunjukkan sesuatu apabila kamu kerjakan, terwujudlah kasih sayang di kalangan kamu? Semarakkanlah salam di kalangan kamu.”
Mengapakah pula salam pun sukar disambut, sedangkan sifat Muslim adalah lemah lembut.

Jika mahu meningkatkan nilai penghayatan Islam, setiap orang Islam mesti mengakui semua orang Islam adalah saudaranya tanpa dibataskan dengan anutan parti dan perbezaan fahaman.

Allah mengiktiraf isyarat bahawa salam itu tanda seseorang Islam. Firman Allah bermaksud: “Hai orang beriman, apabila kamu pergi (berperang) di jalan Allah, maka telitilah dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang mengucapkan salam kepadamu: Kamu bukan seorang mukmin (lalu kamu membunuhnya) dengan maksud mencari harta benda kehidupan di dunia, kerana di sisi Allah ada harta yang banyak...” - (Surah an-Nisa, ayat 94)

Sabda Nabi s.a.w dari Abu Hurairah bermaksud: “Orang Islam bersaudara sesama Islam. Tidak boleh menganiaya dan tidak boleh membiarkannya (dalam kehinaan) dan tidak boleh membohonginya dan tidak boleh menghinanya. Takwa itu di sini, kata Nabi sambil menunjuk ke dadanya tiga kali.”

Cukup banyak kejahatan seseorang itu apabila dia merendah-rendahkan saudaranya sesama Islam.

(Kitab Matnul Arbainan Nawawiyah)

AGAMA CANDU RAKYAT???

Agama adalah hak milik ekslusif di Negara ini. Realitinya, hanya sesetengah orang sahaja yang boleh "memiliki" agama. Erti memiliki bukanlah maksudnya menganut; semua orang boleh menganut, tapi menganut agama ini ibarat menyewa. Pemilik-pemilik agama ini adalah golongan-golongan elitis yang kadang-kadang lebih banyak memeningkan kepala kita apabila melihat telatah mereka. Malah, tambah menyedihkan, agama juga menjadi hak milik ekslusif buat satu kaum, dan kaum lain hanya dilihat sebagai menumpang tuah. Senantiasa kita tertanya kembali bagaimana kita boleh merelakan golongan ini menjadi pemilik dan "pemelihara" agama, dan kita yang di bawah ini pula harus mengikut rentak beragama acuan mereka. Bagaimana pula kita yang sedar ini mampu terus membiarkan pula agama menjadi senjata diskriminasi terhadap kaum berlainan? Jika salah di mata mereka, maka salahlah agama kita. Ingat, kita yang di bawah tidak punya kuasa untuk mempersoalkan apa-apa yang berkaitan anutan kita jika yang di atas tidak membenarkannya. Walaupun pemelihara agama itu adalah kaki mabuk, walaupun pemelihara agama itu adalah pemegang saham judi, walaupun pemelihara agama itu kaki rasuah, atau apa sekali pun, mereka adalah pemilik ekslusif dan menyanggah pendapat mereka mengenai agama adalah dosa besar. Di Negara ini, kita ada ramai wali Melayu yang tidak perlu memahami isi Quran, tidak perlu mampu menjadi imam solat, tidak perlu juga mempunyai anak murid; cukup sekadar mendaftarkan diri menjadi ahli kepada persatuan-persatuan yang menyelitkan satu dua perkataan Arab, mampu berbaju Melayu, dan bangga bersongkok tinggi. Kelayakan lain adalah berkebolehan menarik kereta atau meludah orang. Nauzubillahhiminzalik. "Agama candu masyarakat", untuk golongan yang berakal cerdas dan tidak buta huruf mahupun buta hati, semuanya pasti akan tahu bahawa ini adalah ungkapan Marx yang kononnya menjadi bukti kukuh Marxism menolak agama dan pengamalannya. Yang ini kita tidak perlu perdebatkan jauh, cukup sekadar kita sangkal kembali dengan fakta ringkas iaitu seorang pejuang anti imperialism Belanda di Indonesia pernah mengungkapkan satu ayat tersohor iaitu "tidak cukup Islam kamu jika kamu menolak komunisme". Ayat ini keluar dari mulut dari H.M Misbach atau lebih terkenal dengan gelaran Haji Merah, seorang pejuang Muslim yang mempunyai ramai anak buah; dan juga anak murid yang mengaji dengannya. Fahaman masyarakat kita terhadap "agama candu masyarakat" dan asosiasinya dengan maksud sebenar Marx jauh meleset. Apa lagi jika orang itu hanya memahami komunisme sebagai "bintang tiga yang suka bunuh polis". "Agama" tidak perlu diterangkan bentuknya. Di Malaysia ini tidak ada orang yang lahirnya tidak beragama, kerana setiap bayi yang lahir wajib didaftarkan agamanya dalam surat beranak. Fahaman dan anutan masing-masing itu akhirnya terpulang kepada penganut masing-masing. "Candu" lebih kritikal untuk difahami. Candu adalah satu bahan yang disifatkan sebagai boleh jadi baik dan boleh jadi buruk. Baik jika digunakan atas tujuan dan sebab musababnya. Baik jika tidak dilanggar aturannya. Baik jika digunakan dengan cara yang betul. Buruknya candu apabila digunakan dengan cara yang sebaliknya. Maka tidak salahlah jika ada yang mengatakan agama akhirnya menjadi candu masyarakat. Mengapa candu? Begini, menurut sejarah tamadun masyarakat, kalau diperhatikan bersama, candu ini asalnya adalah bahan yang digunakan untuk menyelamatkan ramai orang. Candu digunakan sebagai ubat berhadapan dengan kesakitan terutama sekali di waktu peperangan dahulu kala. Namun, candu jugalah yang akhirnya telah menyebabkan pecah perang! Candu, seperti dadah lain jugalah yang menghancurkan institusi masyarakat sendiri. Begitulah juga agama akhirnya. Agama asalnya adalah pengubat kemelesetan moral dan kesesatan masyarakat. Agama telah menjadi penyelamat kepada umat manusia. Namun agama jualah yang akhirnya juga menghancurkan manusia itu kembali apabila kuasa atau autonomi agama itu jatuh ke tangan orang yang salah. Di Negara kita, agama rasminya adalah Islam. Ini termaktub di dalam Perlembagaan dengan jelas dan "berani". Dinyatakan "berani" kerana misalnya Indonesia, yang diiktiraf sebenarnya sebagai Negara yang mempunyai umat Islam paling ramai di dalam dunia sendiri ketika berdirinya Undang-Undang Dasar 1945 dan Pancasila, tidak berani meletakkan persoalan mengenai kedudukan agama Islam, pengamalan dan sebagainya, termasuklah juga agama lain ke dalam UUD 1945. Takut kerana ketika itu, ramai berpendapat ia akhirnya akan jadi pemecah belah masyarakat. Namun di Malaysia, mengisytiharkan agama Islam sebagai agama rasmi, lantas meletakkan indikator bahawa umat Islam di Negara ini mempunyai kelebihan jelas berbanding penganut agama lain, ternyata adalah satu tindakan yang berani. Islam diiktiraf, namun pada masa yang sama, agama lain tidak dihalang untuk diamalkan, kecuali disebarkan kepada orang Islam. Ini antara yang termaktub dalam Perlembagaan kita. Dengan perkara yang demikian, tampaklah bahawa Islam adalah agama dominan dan kononnya "terpelihara". Tugas penguasa dalam mengangkat agama, terutama sekali Islam dalam Negara ini telah kelihatan sempurna. Agama candu masyarakat.....oh tidak. Agama adalah jalan atau syariat untuk mencari tuhannya. Berbagai cara manusia beragama untuk mencari tuhanya Ada yang menjadikan patung/pokok/manusia atau benda sebagai perantaraan utk menuju tuhannya Setiap manusia berhak mencari agama.....itu pilihannya diatas kepercayannya. Setiap manusia akan ditanya apa pegaganya dan amalannya dalam beragama. Inilah ilusi yang dimainkan penguasa. Masyarakat telah dicandukan dengan khayalan dan penipuan mengenai agama. Menukarkan agama menjadi senjata untuk mengukuhkan kekuasaan sendiri dengan cara yang hina dan jijik. Menjadikan agama sebagai candu untuk melekakan rakyat. Menjadikan agama sebagai candu supaya rakyat ketagih dan terpaksa terus menyembah kaki mereka. Taktik pertama adalah menipu rakyat dengan membuatkan semua orang percaya bahawa agama telah dipelihara dengan cantik oleh penguasa, kemudian menggunakan kembali agama ini untuk menentang rakyat dan musuh politik masing-masing, apa lagi jika yang tidak seagama dengan mereka. Agama juga digunakan untuk kepentingan dan tembolok masing-masing. Memegang kuasa agama seolah memberi peluang kepada mereka untuk memperniagakan agama, seperti memperniagakan candu. Penyalahgunaan agama ini boleh dilihat dalam banyak perkara, antaranya menghalalkan rompakan ke atas rakyat di siang hari. Banyak projek-projek penswastaan agama dijalankan, dan projek ini secara harfiahnya memang menguntungkan penguasa dari banyak segi termasuklah kewangan. Lihat sahaja masjid-masjid didirikan dengan mewah di banyak pusat-pusat tumpuan pelancong. Membina masjid tidak menjadi masalah. Menjadikan masjid itu indah dan mengasyikkan pandangan juga tidak menjadi kesalahan, namun yang menjadi kesalahan apabila ia dibina dengan tujuan yang tidak betul, contohnya untuk memberi keuntungan kepada kontraktor yang juga kroni mereka. Membina masjid yang pada kosnya hanyalah sekitar RM 2 juta, akhirnya bertukar menjadi RM 10 juta, bukankah ini menghina masjid itu sendiri? Membina masjid dengan duit kotor, kemudian pula menjadikan projek masjid sebagai tapak semaian rasuah dan komisyen. Masyarakat tentu sekali tidak berani mempersoalkan pula perkara ini kerana yang dibina itu masjid. Apa kata orang lain jika kita mempersoalkan wang pembinaan masjid? Akhirnya kontraktor serta menteri yang memakan hasil itu mampu terus tergelak besar. Menyalahgunakan agama untuk memusuhi orang lain, itu juga amalan biasa dalam Negara kita. Menyemai rasa benci dan takbur dalam diri orang-orang yang mencari syurga adalah perbuatan yang hina. Ingat kembali banyak peristiwa pergeseran antara kaum dan penganut agama. Dan tentu sekali, yang menjadi dalang penghasut juga adalah orang-orang politik yang hanya mahu menuai sokongan dari kalangan masyarakat yang tertipu. Betapa dengan sewenang-wenangnya menggunakan alasan keagamaan untuk menghalalkan tindakan tidak adil ke atas orang lain terutama yang tidak sealiran dan tidak sependapat serta tidak seagama dengan mereka. Lebih menyesatkan masyarakat apabila ada yang mula menggunakan perkataan perang jihad ke atas sesuatu pihak; walaupun ironinya yang mengisytiharkan jihad itu anak-anak buah bala tenteranya tidak seorang pun yang kelihatan seperti merindukan syahid; hanyalah jenis manusia yang merindukan Syida atau Syahida di kelab-kelab dangdut. Bukankah ini penyalahgunaan agama? Perkara yang asal dan aslinya baik, apabila jatuh ke tangan orang jahat bertukar menjadi senjata yang berbahaya dan akhirnya menghancurkan institusi masyarakat itu sendiri. Sejak bila agama Islam khususnya disebarkan untuk memerangi orang yang tidak sealiran. Bukankah asalnya agama ini adalah agama pembebasan dan keadilan? Bagaimana akhirnya agama ini menjadi agama penindasan dan penganiayaan serta permusuhan terhadap orang lain? Realitinya, permasalahan beragama di Negara ini masih terlalu banyak dan bercelaru. Sedihnya, segala apa yang berlaku tidak diuraikan sebaliknya terus-menerus disapu ke bawah karpet. Ini realiti. Buat orang-orang yang cuba untuk memikirkan permasalahan ini, mereka selalunya dihalang; lazimnya kerana tidak bertauliah dan sebagainya. Kita ada pelbagai variasi agama di dalam Negara ini, dan Islam sebagai agama dominan, ironinya kelihatan seolah-olah begitu bermasalah walaupun sudah diberi kedudukan yang istimewa dalam negara. Begitu juga Melayu. Lebih istimewa, lebih ekslusif, lebih bermasalah. Tidak cukup ruangan jika ingin dibincangkan satu persatu soal dan permasalahan agama ini. Kita masih belum mampu keluar dari kepompong mazhab, belum mampu memecah dogma kuno Islam itu Melayu, Melayu itu Islam, belum mampu memecahkan diskriminasi terhadap mualaf dan sebagainya. Permasalahan dalaman ini belum selesai dan tak kunjung sudah, maka kita sendiri pun tentu sekali tidak mampu pula untuk membincangkan hubungan dengan agama lain. Akhirnya yang berkuasa terus menerus menggunakan agama yang masih menjadi kekeliruan masyarakat ini sebagai candu untuk mereka menguasai rakyat yang terus tidak sedar diracuni mereka. Hidup ini memang dijadikan tempat ujian..... Manusia mengeluh dengan masaalah dunia dan ada juga manusia gembira dengan masalah dunia..... Berbagai sifat manusia.........ada yang baik dan ada yang buruk....dan bermacam sifat dan pandangan masing masing......ada suka keamanan dan ada yang suka keganasan.....itu lah sifat manusia. Mereka berhak atas diri mereka. Kenapa perlu kita heran.....mereka berjuang atas kepercayaan mereka sendiri sehingga mengorbankan jiwa mereka.... Keputusannya........games kehidupan akan tamat dengan kematian... Semua itu akan dinilai dan dibentangkan di depan tuhannya. Beruntunglah mereka apabila ditimbang pahala mengatasi dosa. Ganjaranya syurga yang penuh nikmat Rugilah mereka apabila dosa mengatasi pahala. Nerakalah ganjarannya. Semua itu pilihan kita..... Renung2kan lah... Wallahualam

DEMOKRASI.... DAKWAH.... ISLAM

Islam berkembang dengan dakwah. Bermula dengan dakwah fardiyyah hinggalah jihad fi sabilillah. Dakwah merupakan perkara penting dalam Islam. Dengan dakwah, manusia akan merasakan kehebatan islam. Dengan dakwah, manusia akan menjadikan Islam sebagai cara hidup. Dengan dakwah, manusia akan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Manusia pula memerlukan kehidupan yang sempurna. Mereka inginkan keamanan, keselamatan, kedamaian dan berbagai-bagai lagi keinginan. Semuanya adalah keinginan fitrah kemanusiaan yang sememangnya wujud dalam jiwa manusia. Dunia telah berada dalam kegelapan. Kegelapan berlaku dengan sebab manusia tidak dapat menyediakan dasar kehidupan yang boleh memimpin mereka membawa kepada kesesuaian dengan kehidupan fitrah. Kesemua kehendak fitrah ini tidak dapat dikecapi dengan tidak menjadikan islam sebagai dasar kehidupan. Allah SWT merupakan tuhan yang telah mencipta manusia. Dengan penciptaan itu menggambarkan Allah bersangatan mengetahui cara kehidupan manusia bagi mencapai kehendak fitnah kemanusiaan tersebut. Dengan itu, Allah telah mendatangkan sistem kehidupan dengan mengutuskan Nabi dan Rasul bagi menyampaikan ajaran-Nya, yang hakikat ajaran itu sebenarnya mendidik manusia agar tidak menuruti kehendak nafsu yang boleh membawa kepada penghapusan terhadap kehendak fitrah insani tersebut. Pun begitu, di sana terdapat manusia yang nafsunya agak buas sehinggakan kandungan ajaran Allah itu di tingalkan disamping melawan dengan hebatnya. Tidak kira yang melawan itu bernama Kafir atau munafiq atau seumpama dengannya. Serangan terhadap Islam itu hebat di lakukan oleh mereka, bermula dari zaman nabi-nabi terdahulu sehinggakan umat Nabi Muhammad SAW. PEMERINTAHAN ISLAM DISERANG Serangan dari musuh islam terhadap Islam sememangnya hebat. Berbagai strategi yang dilakukan oleh mereka untuk melihat Islam sebagai agama yang terhina. Dengan tertubuhnya pemerintahan Islam di Madinah, Islam telah menjadi agama yang sememangnya kuat di mata dunia. Kekuatan itu telah dicemburui oleh dunia-dunia yang tidak Islam sehinggakan mereka telah bertindak untuk menjatuhkan pemerintahan Islam. Mereka berusaha hendak menguasai pemerintahan islam. semuanya bertujuan untuk menjadikan mereka sebagai pemerintah disamping mahu menindas terhadap pemerintahan Islam yang lain. Pelbagai serangan yang dilakukan oleh mereka. serangan dari sudut tenaga telah mengakibatkan mereka kecundang. Mereka berusaha menyerang umat Islam melalui pemikiran pula. Serangan ini dilihat agak berjaya. Maka mereka menyerapkan berbagai-bagai fahaman kepada umat Islam. Kejayaan mereka terserlah dengan kejatuhan pemerintahan islam satu persatu, sehinggakan khalifah Osmaniyyah yang merupakan tonggak kekuatan pemerintahan islam gugur pada tahun 1924. Dengan kejatuhan itu, kuffar merasakan bahawa umat Islam boleh dimainkan oleh mereka. mereka membina boneka-boneka mereka yang terdiri dari kalangan orang yang mendakwa Islam sendiri. golongan munafiq diberi tempat dalam pemerintahan. Dan mereka dididik agar mempertahankan pemikiran barat disamping memperjuangkan pemikiran yang di doktrinkan itu. Keadaan ini telah membuahkan hasil yang sangat berjaya. Kejatuhan kerajaan Osmaniyyah turki pun disebabkan dengan kejayaan mereka membina boneka barat yang bernama Mustafa Kamal Art-Tarturk yang dengan kehadiran Mustafa kamal inilah antara punca utama kejatuhan kerajaan osmaniyyah. Tindakan yang sama dilakukan di sebilangan Negara-negara umat Islam yang lain. sebilangan Negara, mereka memulakan serangan dengan kuasa penjajahan. adapun di Negara yang mereka tidak mampu untuk menjajah, mereka telah melantik anak-anak didik mereka yang telah dibonekakan untuk memerintah. Maka dengan sebab itulah, setelah kejatuhan kerajaan Islam, umat Islam semakin lemah. Isu Palestine dan kasymir, penyelesaianya sering diperkatakan semenjak berpuluh-puluh tahun. Tidak sekadar itu, barat semakin menggila untuk menghina Islam dan umatnya, mereka menyerang pula Iraq dan Lubnan. Setelah mereka berjaya menguasai di sebilangan Negara-negara umat Islam ini, mereka akan memaksa agar Negara umat Islam ini mengamalkan sistem pemerintahan yang berasaskan kepada demokrasi. Sistem yang direka cipta oleh mereka sendiri. semua bertujuan untuk melahirkan generasi yang beraqidah dengan sistem demokrasi ciptaan mereka. DUNIA ISLAM TERSEPIT Dunia Islam berada dalam keadaan tersepit. Hendak mencegah sistem demokrasi mati bapa, hendak menerima pula mati emak. Dalam dilema sedemikian, barat tetap melaksanakan sistem demokrasi dalam Negara-negara umat Islam. Boneka-boneka mereka diletakkan sebagai pemerintah sebagai pelaksana kepada sistem demokrasi yang direka cipta oleh mereka. maka berjalanlah sistem demokrasi di kalangan umat Islam. Golongan maksiat mula bersuara mahukan kebebasan. Tuntutan membuka aurat dilakukan sehingga mereka berjaya. Dunia Islam dipenuhi dengan maksiat yang melampau. Keadaan ini menyebabkan, golongan taqwa mula berfikir untuk menyelesaikan keadaan sebegini. Jika mahu mengisytiharkan perang bersenjata, pemikiran ini dalam keadaan ketika itu agak tidak menghasilkan natijah yang baik. Ini kerana, golonngan taqwa hanya sedikit yang tidak memungkinkan jihad bersenjata akan menghasilkan kejayaan. Mereka mula memikirkan usaha dakwah melalui sistem demokrasi itu sendiri. mereka mula meng”edit” beberapa unsure-unsur dalam demokrasi agar tidak bercanggah dengan Islam. Tindakan ini bersesuaian dengan firman Allah; فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ Maksudnya; “barangsiapa yang menyerang kamu, maka seranglah ia, seimbang dengan serangannya terhadapmu” (Surah Al-Baqarah : 194) Demokrasi yang merupakan matlamat dalam pemikiran barat, digantikannya dengan menjadikan sebagai alat untuk berdakwah. Maka dengan itu, banyaklah jemaah-jemaah islam ketika itu melibatkan diri dengan demokrasi. Penglibatan mereka bukan kerana mahu menjadikan demokrasi itu sebagai fahaman, tetapi sekadar mahu menjadikan ia sebagai alat untuk menyampai dakwah untuk menyedarkan umat Islam terhadap Islam. KEJAYAAN DAKWAH DALAM DEMOKRASI Rupa-rupanya, dengan tindakan jemaah-jemaah islam yang “memperalatkan” sistem demokrasi itu telah menghasilkan natijah yang baik kepada dakwah islamiyyah. Kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, kebebasan menubuhkan parti dan kebebasan menyampaikan fahaman politik masing-masing telah menyebabkan jemaah islam berjaya menyedarkan umat Islam dengan islam. umat Islam yang melihat pergerakan jemaah Islam yang menyediakan Islam sebagai model keamanan dan keadilan telah merasakan kepentingan menjadikan Islam sebagai agama memerintah. Maka dengan itu, ramailah umat Islam sedar dan berusaha hendak mendaulatkan Islam mengikut kemampuan yang ada pada diri mereka. Apakan daya, golongan boneka barat amat takut dengan perkembangan Islam itu menyebabkan mereka mula bertindak ganas. Mereka sanggup menangkap dan memenjarakan umat Islam yang mahukan Islam memerintah. Kesombongan mereka semakin menjadi-jadi sehinggakan mereka sanggup membunuh umat Islam tersebut. Dalam keadaan itulah, mereka mula melanggar kandungan demokrasi yang mereka canang dahulu. walaupun mereka adalah golongan yang mencetuskan perhimpunan, kini perhimpunan yang ingin di adakan oleh pencinta Islam dan keadilan dianggap sebagai penderhaka. Mereka mula mengupah agamawan untuk menjadi “barua-barua politik” untuk menulis dan berceramah tentang kesyirikan sistem demokrasi dengan tujuan untuk menghentam jemaah Islam yang menggunakan sistem demokrasi untuk kemenangan Islam. Tetapi, adakah mereka sedar, sebenarnya merekalah orang yang beraqidah dengan sistem demokrasi syirik. Adapun jemaah-jemaah islam, mereka tidak pernah beraqidah dengan sistem demokrasi itu, tetapi mereka meng”edit” demokrasi agar ianya tidak bercanggah dengan Islam dan kemudiannya menjadikannya sebagai alat untuk menyampaikan dakwah Islamiyyah. Sememangnya jemaah-jemaah islam berjaya menyampaikan mesej dakwah melalui ruang demokrasi ini. PENUTUP Menghadapi musuh secara damai merupakan kaedah yang perlu di utamakan sebelum menghadapi mereka dengan kekerasan. Lihatlah dalam kisah sulh al-hudaibiyyah, bagaimana kaedah damai ini di guna pakai oleh Rasulullah SAW untuk berhadapan dengan kegilaan tentera musyrikin Makkah ketika itu. Demokrasi merupakan salah satu cara yang boleh digunakan (setelah di edit) untuk berhadapan dengan musuh dengan menggunakan cara damai. maka dengan sebab itulah, dalam keadaan Negara mengamalkan sistem demokrasi ini, tidak menjadi kesalahan kepada jemaah Islam untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam dengan menggunakan sistem demokrasi juga. Apa yang penting dari usaha ini adalah, semuanya untuk mendaulatkan Islam di atas muka bumi Allah, yang mana, ianya merupakan tuntutan Allah SWT. Sekian Wallahu ‘Alam