Tingkap papan kayu bersegi, Sampan sakat di Pulau Angsa, Indah tampan kerana budi, Tinggi bangsa kerana bahasa.
Sunday, May 26, 2013
AGAMA CANDU RAKYAT???
Agama adalah hak milik ekslusif di Negara ini. Realitinya, hanya sesetengah orang sahaja yang boleh "memiliki" agama. Erti memiliki bukanlah maksudnya menganut; semua orang boleh menganut, tapi menganut agama ini ibarat menyewa. Pemilik-pemilik agama ini adalah golongan-golongan elitis yang kadang-kadang lebih banyak memeningkan kepala kita apabila melihat telatah mereka. Malah, tambah menyedihkan, agama juga menjadi hak milik ekslusif buat satu kaum, dan kaum lain hanya dilihat sebagai menumpang tuah. Senantiasa kita tertanya kembali bagaimana kita boleh merelakan golongan ini menjadi pemilik dan "pemelihara" agama, dan kita yang di bawah ini pula harus mengikut rentak beragama acuan mereka. Bagaimana pula kita yang sedar ini mampu terus membiarkan pula agama menjadi senjata diskriminasi terhadap kaum berlainan? Jika salah di mata mereka, maka salahlah agama kita. Ingat, kita yang di bawah tidak punya kuasa untuk mempersoalkan apa-apa yang berkaitan anutan kita jika yang di atas tidak membenarkannya. Walaupun pemelihara agama itu adalah kaki mabuk, walaupun pemelihara agama itu adalah pemegang saham judi, walaupun pemelihara agama itu kaki rasuah, atau apa sekali pun, mereka adalah pemilik ekslusif dan menyanggah pendapat mereka mengenai agama adalah dosa besar. Di Negara ini, kita ada ramai wali Melayu yang tidak perlu memahami isi Quran, tidak perlu mampu menjadi imam solat, tidak perlu juga mempunyai anak murid; cukup sekadar mendaftarkan diri menjadi ahli kepada persatuan-persatuan yang menyelitkan satu dua perkataan Arab, mampu berbaju Melayu, dan bangga bersongkok tinggi. Kelayakan lain adalah berkebolehan menarik kereta atau meludah orang. Nauzubillahhiminzalik. "Agama candu masyarakat", untuk golongan yang berakal cerdas dan tidak buta huruf mahupun buta hati, semuanya pasti akan tahu bahawa ini adalah ungkapan Marx yang kononnya menjadi bukti kukuh Marxism menolak agama dan pengamalannya. Yang ini kita tidak perlu perdebatkan jauh, cukup sekadar kita sangkal kembali dengan fakta ringkas iaitu seorang pejuang anti imperialism Belanda di Indonesia pernah mengungkapkan satu ayat tersohor iaitu "tidak cukup Islam kamu jika kamu menolak komunisme". Ayat ini keluar dari mulut dari H.M Misbach atau lebih terkenal dengan gelaran Haji Merah, seorang pejuang Muslim yang mempunyai ramai anak buah; dan juga anak murid yang mengaji dengannya. Fahaman masyarakat kita terhadap "agama candu masyarakat" dan asosiasinya dengan maksud sebenar Marx jauh meleset. Apa lagi jika orang itu hanya memahami komunisme sebagai "bintang tiga yang suka bunuh polis". "Agama" tidak perlu diterangkan bentuknya. Di Malaysia ini tidak ada orang yang lahirnya tidak beragama, kerana setiap bayi yang lahir wajib didaftarkan agamanya dalam surat beranak. Fahaman dan anutan masing-masing itu akhirnya terpulang kepada penganut masing-masing. "Candu" lebih kritikal untuk difahami. Candu adalah satu bahan yang disifatkan sebagai boleh jadi baik dan boleh jadi buruk. Baik jika digunakan atas tujuan dan sebab musababnya. Baik jika tidak dilanggar aturannya. Baik jika digunakan dengan cara yang betul. Buruknya candu apabila digunakan dengan cara yang sebaliknya. Maka tidak salahlah jika ada yang mengatakan agama akhirnya menjadi candu masyarakat. Mengapa candu? Begini, menurut sejarah tamadun masyarakat, kalau diperhatikan bersama, candu ini asalnya adalah bahan yang digunakan untuk menyelamatkan ramai orang. Candu digunakan sebagai ubat berhadapan dengan kesakitan terutama sekali di waktu peperangan dahulu kala. Namun, candu jugalah yang akhirnya telah menyebabkan pecah perang! Candu, seperti dadah lain jugalah yang menghancurkan institusi masyarakat sendiri. Begitulah juga agama akhirnya. Agama asalnya adalah pengubat kemelesetan moral dan kesesatan masyarakat. Agama telah menjadi penyelamat kepada umat manusia. Namun agama jualah yang akhirnya juga menghancurkan manusia itu kembali apabila kuasa atau autonomi agama itu jatuh ke tangan orang yang salah. Di Negara kita, agama rasminya adalah Islam. Ini termaktub di dalam Perlembagaan dengan jelas dan "berani". Dinyatakan "berani" kerana misalnya Indonesia, yang diiktiraf sebenarnya sebagai Negara yang mempunyai umat Islam paling ramai di dalam dunia sendiri ketika berdirinya Undang-Undang Dasar 1945 dan Pancasila, tidak berani meletakkan persoalan mengenai kedudukan agama Islam, pengamalan dan sebagainya, termasuklah juga agama lain ke dalam UUD 1945. Takut kerana ketika itu, ramai berpendapat ia akhirnya akan jadi pemecah belah masyarakat. Namun di Malaysia, mengisytiharkan agama Islam sebagai agama rasmi, lantas meletakkan indikator bahawa umat Islam di Negara ini mempunyai kelebihan jelas berbanding penganut agama lain, ternyata adalah satu tindakan yang berani. Islam diiktiraf, namun pada masa yang sama, agama lain tidak dihalang untuk diamalkan, kecuali disebarkan kepada orang Islam. Ini antara yang termaktub dalam Perlembagaan kita. Dengan perkara yang demikian, tampaklah bahawa Islam adalah agama dominan dan kononnya "terpelihara". Tugas penguasa dalam mengangkat agama, terutama sekali Islam dalam Negara ini telah kelihatan sempurna. Agama candu masyarakat.....oh tidak. Agama adalah jalan atau syariat untuk mencari tuhannya. Berbagai cara manusia beragama untuk mencari tuhanya Ada yang menjadikan patung/pokok/manusia atau benda sebagai perantaraan utk menuju tuhannya Setiap manusia berhak mencari agama.....itu pilihannya diatas kepercayannya. Setiap manusia akan ditanya apa pegaganya dan amalannya dalam beragama. Inilah ilusi yang dimainkan penguasa. Masyarakat telah dicandukan dengan khayalan dan penipuan mengenai agama. Menukarkan agama menjadi senjata untuk mengukuhkan kekuasaan sendiri dengan cara yang hina dan jijik. Menjadikan agama sebagai candu untuk melekakan rakyat. Menjadikan agama sebagai candu supaya rakyat ketagih dan terpaksa terus menyembah kaki mereka. Taktik pertama adalah menipu rakyat dengan membuatkan semua orang percaya bahawa agama telah dipelihara dengan cantik oleh penguasa, kemudian menggunakan kembali agama ini untuk menentang rakyat dan musuh politik masing-masing, apa lagi jika yang tidak seagama dengan mereka. Agama juga digunakan untuk kepentingan dan tembolok masing-masing. Memegang kuasa agama seolah memberi peluang kepada mereka untuk memperniagakan agama, seperti memperniagakan candu. Penyalahgunaan agama ini boleh dilihat dalam banyak perkara, antaranya menghalalkan rompakan ke atas rakyat di siang hari. Banyak projek-projek penswastaan agama dijalankan, dan projek ini secara harfiahnya memang menguntungkan penguasa dari banyak segi termasuklah kewangan. Lihat sahaja masjid-masjid didirikan dengan mewah di banyak pusat-pusat tumpuan pelancong. Membina masjid tidak menjadi masalah. Menjadikan masjid itu indah dan mengasyikkan pandangan juga tidak menjadi kesalahan, namun yang menjadi kesalahan apabila ia dibina dengan tujuan yang tidak betul, contohnya untuk memberi keuntungan kepada kontraktor yang juga kroni mereka. Membina masjid yang pada kosnya hanyalah sekitar RM 2 juta, akhirnya bertukar menjadi RM 10 juta, bukankah ini menghina masjid itu sendiri? Membina masjid dengan duit kotor, kemudian pula menjadikan projek masjid sebagai tapak semaian rasuah dan komisyen. Masyarakat tentu sekali tidak berani mempersoalkan pula perkara ini kerana yang dibina itu masjid. Apa kata orang lain jika kita mempersoalkan wang pembinaan masjid? Akhirnya kontraktor serta menteri yang memakan hasil itu mampu terus tergelak besar. Menyalahgunakan agama untuk memusuhi orang lain, itu juga amalan biasa dalam Negara kita. Menyemai rasa benci dan takbur dalam diri orang-orang yang mencari syurga adalah perbuatan yang hina. Ingat kembali banyak peristiwa pergeseran antara kaum dan penganut agama. Dan tentu sekali, yang menjadi dalang penghasut juga adalah orang-orang politik yang hanya mahu menuai sokongan dari kalangan masyarakat yang tertipu. Betapa dengan sewenang-wenangnya menggunakan alasan keagamaan untuk menghalalkan tindakan tidak adil ke atas orang lain terutama yang tidak sealiran dan tidak sependapat serta tidak seagama dengan mereka. Lebih menyesatkan masyarakat apabila ada yang mula menggunakan perkataan perang jihad ke atas sesuatu pihak; walaupun ironinya yang mengisytiharkan jihad itu anak-anak buah bala tenteranya tidak seorang pun yang kelihatan seperti merindukan syahid; hanyalah jenis manusia yang merindukan Syida atau Syahida di kelab-kelab dangdut. Bukankah ini penyalahgunaan agama? Perkara yang asal dan aslinya baik, apabila jatuh ke tangan orang jahat bertukar menjadi senjata yang berbahaya dan akhirnya menghancurkan institusi masyarakat itu sendiri. Sejak bila agama Islam khususnya disebarkan untuk memerangi orang yang tidak sealiran. Bukankah asalnya agama ini adalah agama pembebasan dan keadilan? Bagaimana akhirnya agama ini menjadi agama penindasan dan penganiayaan serta permusuhan terhadap orang lain? Realitinya, permasalahan beragama di Negara ini masih terlalu banyak dan bercelaru. Sedihnya, segala apa yang berlaku tidak diuraikan sebaliknya terus-menerus disapu ke bawah karpet. Ini realiti. Buat orang-orang yang cuba untuk memikirkan permasalahan ini, mereka selalunya dihalang; lazimnya kerana tidak bertauliah dan sebagainya. Kita ada pelbagai variasi agama di dalam Negara ini, dan Islam sebagai agama dominan, ironinya kelihatan seolah-olah begitu bermasalah walaupun sudah diberi kedudukan yang istimewa dalam negara. Begitu juga Melayu. Lebih istimewa, lebih ekslusif, lebih bermasalah. Tidak cukup ruangan jika ingin dibincangkan satu persatu soal dan permasalahan agama ini. Kita masih belum mampu keluar dari kepompong mazhab, belum mampu memecah dogma kuno Islam itu Melayu, Melayu itu Islam, belum mampu memecahkan diskriminasi terhadap mualaf dan sebagainya. Permasalahan dalaman ini belum selesai dan tak kunjung sudah, maka kita sendiri pun tentu sekali tidak mampu pula untuk membincangkan hubungan dengan agama lain. Akhirnya yang berkuasa terus menerus menggunakan agama yang masih menjadi kekeliruan masyarakat ini sebagai candu untuk mereka menguasai rakyat yang terus tidak sedar diracuni mereka. Hidup ini memang dijadikan tempat ujian..... Manusia mengeluh dengan masaalah dunia dan ada juga manusia gembira dengan masalah dunia..... Berbagai sifat manusia.........ada yang baik dan ada yang buruk....dan bermacam sifat dan pandangan masing masing......ada suka keamanan dan ada yang suka keganasan.....itu lah sifat manusia. Mereka berhak atas diri mereka. Kenapa perlu kita heran.....mereka berjuang atas kepercayaan mereka sendiri sehingga mengorbankan jiwa mereka.... Keputusannya........games kehidupan akan tamat dengan kematian... Semua itu akan dinilai dan dibentangkan di depan tuhannya. Beruntunglah mereka apabila ditimbang pahala mengatasi dosa. Ganjaranya syurga yang penuh nikmat Rugilah mereka apabila dosa mengatasi pahala. Nerakalah ganjarannya. Semua itu pilihan kita..... Renung2kan lah... Wallahualam